KUALA LUMPUR, 6 Sept – Dalam usaha kerajaan untuk membantu rakyat meningkatkan taraf sosio-ekonomi keluarga, Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan satu program khusus dipanggil Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG).
Kata Menterinya merangkap Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, program SULUNG ini akan memberi peluang kepada generasi pertama dalam keluarga B40 yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
“Program ini sama seperti mana yang dilaksanakan oleh negara-negara maju seperti ‘First in Family’ di UK (United Kingdom) dan Australia, dan ‘First-Generation College Student’ di United State serta beberapa negara yang lain.
“Melalui SULUNG ini, kita akan bantu dari segi kemasukan, bantuan kewangan dan bantuan mendapatkan pekerjaan apabila tamat pengajian nanti,” kata Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) itu menerusi Facebook.
Jelas Ahli Parlimen Parit Sulung itu lagi, bagi menjayakan aspirasi ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kementerian dalam mendapatkan dana untuk menampung program khusus ini seperti, wakaf, endowmen, dan wazan.
Begitu juga tambahnya, baru-baru ini telah diadakan Kejohanan Golf Amal Piala Pusingan Menteri Pengajian Tinggi sebagai salah satu inisiatif bagi mengisi tabung Program SULUNG KPT 2022.
“Alhamdulillah, kejohanan ini telah mencapai objektifnya dan mendapat penyertaan 90 orang terdiri daripada warga kementerian, institusi pengajian tinggi, individu-individu korporat dan pemimpin masyarakat. Terima kasih kepada semua penyumbang.
“Saya berharap dengan adanya program SULUNG ini, anak-anak pelajar yang terpilih nanti akan dapat mengubah nasib keluarga dan sebagai pencetus motivasi kepada ahli keluarga yang lain,” katanya. – UMNO ONLINE