KUALA LUMPUR,17 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan Pemuda parti itu agar bersatu padu dan menolak budaya berpuak-puak.
Ingatan iItu disuarakannya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa, petang tadi.
Meneruskan ucapannya, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN seterusnya menambah pihak lawan sentiasa menanti keadaan tersebut dan Pemuda serta seluruh ahli parti perlulah mengelakkan budaya sedemikian.
“Pemuda jadilah pasukan yang kuat, bersatu padu dan jangan berpuak. Kalau berpuak…inilah yang dinantikan oleh pihak yang mahu kita berpecah…jadi bawalah semangat petang ini balik ke kawasan masing-masing untuk menyusun gerak kerja dan sebagainya.
“Kita mesti susun jentera pilihan raya dengan baik…kita nak menang dan jika tidak menang susah untuk bangkit semula,” katanya.
Majlis pelancaran Jentera Pemuda BN disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta pimpinan rakan-rakan komponen BN yang lain.
Dalam pada itu Mohamad secara seloroh menyifatkan saham Pemuda BN cukup tinggi hari ini apabila Stadium Titiwangsa dibanjiri jentera Pemuda seluruh negara.
“Majlis ini amat besar maknanya dan tahniah kepada Pemuda kerana dapat anjurkan majlis pelancaran jentera pilihanraya Pemuda BN. Ini jelas menunjukkan saham Pemuda BN diniagakan terlebih langganan di ‘pasaran BSKL’.
“Kita yakin dengan semangat yang ada jika dibawa balik dan diolah dengan baik, BN yakin akan dapat rampas semula Putrajaya pada PRU nanti.
“Program ini amat besar maknanya dan akan jadi satu wadah kepada kita semua…Keberkesanan jentera amat penting dan jika jentera bersedia dan diurus dengan baik ianya adalah resepi punca utama untuk menang PRU,” ujarnya.
Dalam pada itu Mohamad turut memaklumkan hasil jelajah ke negeri-negeri sebelum ini akan dirumuskan sebaiknya dan melihat kesiapsiagaan masing-masing cukup tinggi.
“Kami telah pun jelajah ke semua negeri daripada bahagian Padang Besar hingga Sipitang, Sabah. Kita telah lihat dengan sendiri bahwa parti kita dari segi kesiapsiagaan berada dalam baik dan bersiap sedia untuk hadapi PRU pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai,” tambahnya.- UMNO Online