KUALA LUMPUR, 17 Sept – Pemuda UMNO/Barisan Nasional (BN) sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana Pemuda BN telah melalui proses perjuangan selama empat tahun sehingga semangat mereka mencapai tahap maksimum.
“Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), PAU Khas, Konvensyen BN, kita telah membuat keputusan bahawa PRU akan diadakan pada tahun ini. Tetapi tarikhnya kita beri ‘Top 5’, Presiden dan Perdana Menteri (PM) tentukan.
“Kalau Datuk Seri Ismail Sabri isytihar Parlimen bubar esok pun kami sedia. Ini bukan main-main, kami sudah melalui proses ini selama empat tahun lebih. Semangat kami dah sampai ke tahap maksimum.
“Kami telah turun ke 191 bahagian dan melihat kesiapsiagaan Pemuda dan kami telah bersedia untuk menghadapi PRU ke-15,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN, dekat sini, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO berkata, bagi memastikan kemenangan UMNO/BN pada PRU ke-15, kesatuan semua kepimpinan parti amat diperlukan.
“Nak menang PRU, bukan sekadar omongan kosong. Kita kena pastikan wadah kita kuat. Kita perlukan semua kepimpinan kita bersolidariti.
“Orang luar (pihak lawan) cemburu dengan UMNO/BN kerana mereka tahu sekiranya pemimpin kita bersatu hati, mereka tiada peluang untuk menang PRU. Kalau kita sepakat, mesti mereka ditolak rakyat,” katanya lagi.
Tambah Asyraf lagi, UMNO/BN tidak boleh mengikut rentak musuh dalam mendepani peperangan yang akan datang.
“Kita tidak boleh menari ikut alunan lagu musuh. Kalau mereka kata kita pemimpin kluster mahkamah, mereka lagi ramai pemimpin kluster mahkamah.
“Bila kita jatuh, mereka tukar Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kepada Latheefa Koya, melakukan pelbagai konspirasi yang didedahkan dalam buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas. Ini merupakan satu pengkhianatan. Bukan kita tetapi mereka.
“Kita tidak boleh mendiamkan diri dan membiarkan mereka semakin berleluasa. Kita perlu mempunyai tekad serta kuat pasa hari ini. Kita kena bersatu hati. Insya-Allah kita akan menang pada PRU akan datang,” katanya lagi.
Pelancaran Jentera Pemuda BN dihadiri lebih 10,000 orang ahli dari seluruh negara memperlihatkan bahawa semangat ‘Pemuda Bangkit Kembali’ semakin membara mendepani PRU ke-15. – UMNO Online