KUALA LUMPUR, 23 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta BERSIH dan Majlis Peguam Negara untuk ambil maklum tentang beberapa salah laku yang mereka lakukan selama Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selama 22 bulan.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Asyraf berkata, PH menukar Ketua Hakim dan Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudiannya menggantikan dengan individu yang cenderung kepada mereka.
“Majlis Penasihat Kerajaan mereka minta Ketua Hakim dan Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu untuk meletak jawatan dan kemudiannya masukkan Ketua Hakim yang menyokong PH selepas dicadangkan oleh Lim Kit Siang.
“Yang paling bagusnya Majlis Penasihat Kerajaan ini, salah seorang anggotanya adalah seorang wanita yang diakui oleh Peguam Negara bahawa dia bantu Jho Low untuk sakau atau curi duit 1 MDB dan keluarga wanita itu terima hampir RM700 juta dari Jho Low. Wanita yang sama ini juga turut dilantik kerajaan PH jadi pengerusi PNB yang mengendali dana bernilai RM330 bilion,” katanya.
Menurut Asyraf, mereka turut menyingkirkan Peguam Negara pada ketika itu serta melantik orang PKR paling senior sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Maaysia (SPRM).
“Mereka singkir Peguam Negara dan gantikan dengan Tommy Thomas yang cenderung kepada PH. Itu juga dicadangkan oleh Lim Kit Siang. Selepas itu, Peguam Negara ini lantik pula rakan sekutu Mahathir dan peguam Guan Eng sebagai Timbalan Pendakwaraya.
“Mereka lantik orang PKR paling senior sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kemudian, diletakkan pula individu pro-PH, Art Harun (Azhar Harun) sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya. Abangnya pula dilantik sebagai Peguam negara untuk gantikan Tommy manakala Art Harun dilantik sebagai Speaker.
“Mereka letakkan pemimpin senior Parti Amanah sebagai Speaker di Parlimen. Dua timbalannya adalah dari DAP dan PKR,” katanya lagi.
Tambah Asyraf, selepas dilantik, mereka gugurkan semua kes mahkamah terhadap pemimpin PH serta meletakkan individu yang yang masih dibicarakan kerana rasuah sebagai Menteri Kewangan.
“Selepas dilantik, mereka gugurkan semua kes terhadap pemimpin PH termasuk kes yang sudah dibicarakan di mahkamah seperti kes rasuah bangle Guan Eng dan kes Rafizi yang sudah masuk kes pembelaan. Malah, kes Wan Azizah dan PKR yang diperintah bayar RM2 juta kerana memfitnah FELDA turut mendapat diskaun hingga RM70,000 sahaja, iaitu 96.5 peratus diskaun.
“Yang paling mengagumkan, inividu yang masih dibicarakan kerana rasuah turut dilantik sebagai Menteri Kewangan untuk mengendalikan duit kita. Pada masa itu, mana suara korang? Korang ni Majlis Peguam atau Majlis Penasihat PH?” katanya lagi. – UMNO Online