UMNO Capai Ketetapan PRU15 Dalam Masa Terdekat, Kembalikan Hak Rakyat

 

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencapai ketetapan untuk pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 diadakan pada tahun ini juga.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan yang dibacakan kepada media selepas mesyuarat terbabit berkata, berdasarkan keputusan ini, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan Mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik COVID-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.”

Sehubungan itu, katanya, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU ke-15.

“UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, disamping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya lagi.

Terdahulu mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung pada malam ini di Ibu Pejabat parti, Menara Dato Onn telah dan dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan dihadiri Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama kepimpinan parti. – UMNO Online