Jangan Lupa, PH Batalkan Banyak Perancangan BN Untuk Rakyat

PUTRAJAYA, 7 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan peralihan pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan digantikan Pakatan Harapan (PH) menyebabkan banyak perkara yang dirancang Barisan Nasional (BN) untuk keselesaan rakyat dibatal atau tidak diteruskan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menjadikan kawasan yang diwakili sebagai contoh terbaik bagaimana PH membatalkan banyak perkara biarpun ia adalah berkaitan dengan rakyat.

“Yang paling saya sedih sekali apabila saya cuba selesaikan berkaitan pengangkutan bas di Putrajaya iaitu NadiPutra tapi malangnya apabila BN kalah dalam kerajaan Persekutuan, apa yang dilakukan oleh PH ialah batalkan apa yang telah saya rancangkan.

“Macam-macam yang telah mereka batalkan sedangkan ianya telah dirancang dengan baik oleh BN sebagaimana perumahan yang bawah harga RM80,000 untuk penjawat-penjawat awam di sini pun mereka tidak lanjutkan.

“Kita hendak satu lagi sekolah rendah agama di Presint 16, dah dapat kelulusan waktu itu, ada juga empat surau yang dah pun dapat kelulusan dan kewangannya juga namun apabila datang puak-puak PH ini dia batalkan semua,” katanya kepada UMNO Online.


Kata Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, setelah diadakan beberapa perbincangan maka surau terbabit boleh dibangunkan dengan syarat 50 peratus pembiayaannya perlu dicari oleh penduduk tempatan.

“Mereka tidak menggunakan akal fikiran… mana masuk akal kerana penduduk di sini adalah penjawat awam, berapa sangat gaji mereka. Jadi puak-puak PH ini tak faham. Itulah masalahnya.

“Mereka juga buang penjawat awam kerana katanya penjawat awam ini seperti biawak hidup. Ini satu masalah lagi. Saya dah ingatkan berhati-hatilah terhadap puak-puak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya lagi.

Sebelum itu beliau memaklumkan bahawa hanya BN yang benar-benar menjaga kepentingan rakyat dan berusaha dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

“BN banyak berbudi kepada rakyat, memberikan kemudahan dalam menyelesaikan kekangan rakyat termasuklah pendidikan dan perumahan misalnya sekolah agama rakyat yang diperlukan di sini telah dibangunkan malah perumahan PR1MA yang pertama di Malaysia adalah di Putrajaya,” ujarnya lagi. – UMNO Online