Ada komentar menyifatkan belanjawan ini sebagai belanjawan untuk pilihan raya.
Sehinggakan pihak parti pembangkang pun terpaksa menyerang soal pelaksanaan. Tapi dari segi pengisian, pihak lawan pun mengakui. Isitilah yang mereka guna: “goodies”, “komprehensif”, “benda bagus” (lihat lampiran).
Tetapi ini bukan semata-mata mengambil hati dengan bantuan tunai.
Benar, bantuan tunai kali ini paling tinggi dalam sejarah mana-mana bajet. Benar, pinjaman ASB untuk B40 ditetapkan hanya 1.5% sekaligus hampir menjamin keuntungan tahunan.
Benar, kali ini M40 pun ada bantuan yang tersasar terhadap mereka. Benar, golongan belia dan e-hailing juga mendapat manfaat khusus dari bantuan tunai, perlindungan insuran sehingga pinjaman mudah untuk pembelian kenderaan mahupun ‘food truck’.
Namun, Bajet kali ini tidak langsung melupakan agenda jangka panjang yang bukan bersifat populis semata-mata.
Misalnya perbelanjaan pembangunan RM95 bilion iaitu terbesar dalam sejarah. Misalnya langkah-langkah dan perbelanjaan yang diumumkan dalam menarik pelaburan dalam industri-industri yang dikenalpasti disamping mencapai sasaran top 10 negara berdaya saing di dunia.
Ataupun segala langkah ke arah sasaran karbon neutral, termasuklah pengecualian fi permit import (AP) untuk kenderaan elektrik, dan peluasan kemudahan pengecasan supaya kenderaan berharga sederhana juga dapat membanjiri pasaran.
Ini hanya beberapa contoh ringkas menggambarkan bahawa kalau pihak lain hendak menyifatkan ini sebagai Bajet Pilihan Raya (pihak lain, bukan saya), mungkin sebab mereka khuatir rakyat mampu menilai beza langkah dan tema Bajet ini berbanding beberapa tahun sebelumnya.
Ia tidak semata-mata kerana bantuan tunai meletakkan wang ke dalam saku rakyat kebanyakan. Bukan semata-mata subsidi dan bantuan tunai dalam lingkungan RM55 bilion berbanding tak sampai RM25 bilion tahun 2019 dan 2020.
Tetapi jauh lebih dari itu, kerana ia bajet yang menggambarkan kompetensi dalam mengurus situasi dan kemampuan membina negara bukan hanya untuk hari ini.
Tidak minta rakyat ikat perut bantu Kerajaan seperti Perdana Menteri 2019. Tidak minta rakyat berkorban seperti Menteri Kewangan 2019.
Tidak juga menjanjikan bulan, bintang dan kereta terbang. Tetapi bajet yang bervisi sambil berpijak di bumi nyata, demi kemaslahatan Keluarga Malaysia. Itu bezanya. – UMNO ONLINE
Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO