KUALA LUMPUR, 9 Okt – Pasukan perundangan UMNO/Barisan Nasional (BN) akan membantu menyiapkan segala persiapan rapi dalam semua sudut menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan diumumkan pada bila-bila masa, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pada masa yang sama beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut mengharapkan pasukan perundangan UMNO/BN terus membantu dari mula pembubaran sehingga berakhirnya proses pengundian.
“UMNO/BN terus membuat persiapan pasukan perundangan yang akan membantu pada PRU15 sama ada masa proses penamaan calon, kempen dan selepas pengundian.
“Kita memerlukan peguam-peguam ini untuk membuat persiapan dan membantu persediaan perundangan sama ada di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) negeri mahu pun pusat. Antara persiapannya melibatkan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO/BN,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Seterusnya kata Ahmad lagi menzahirkan penghargaan pada pasukan peguam yang terlibat pada pilihan raya nanti.
“Ini adalah pasukan perundangan bagi persiapan PRU15 dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.
“Peguam-peguam ini akan terus membuat persiapan sama ada masa pembubaran sehingga selesai PRU,” ujarnya. – UMNO Online