KUALA LUMPUR, 12 Okt – Pemuda UMNO bersiap sedia sepenuhnya sebagai satu pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan ditentukan nanti dan menolak ke tepi sebarang perkara remeh-temeh yang boleh mengangu gugat pergerakan berkenaan untuk membantu parti.
Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata fokus utama adalah membantu parti mencapai kemenangan dan akan memberi tumpuan ke setiap kawasan parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dibubarkan nanti.
“Kita akan tumpukan kawasan Parlimen dan negeri bakal isytiharkan pembubaran. Jadi jentera kita akan fokus kepada kebolehmenangan dan kemenangan bukan sahaja calon Pemuda tetapi juga calon-calon di bawah BN.
“Kita dah sepakat jentera harus bersolidariti, meletakkan ke tepi isu-isu yang remeh dan perbedaan yang kita lalui lumrahnya sebagai parti politik tetapi apabila kita berada dalam konteks peperangan PRU15 kita harus bersiap sedia sebagai satu pasukan.
“Alhamdulillah, saya percaya dan saya yakin daripada pelancaran jentera Pemuda BN pada 17 Sep yang lalu sehinggalah laporan-laporan daripada Ketua Pemuda Negeri yang kita telah bincangkan, tahap kesiapsiagaan untuk menghadapi PRU15 adalah amat baik dan maksimum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.
Berhubung soal calon, Asyraf yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, pergerakan itu tidak pernah mendesak untuk mendapatkan kuota tertentu sebaliknya berpegang kepada pendirian mahukan BN menampilkan lebih ramai muka baharu dan muda.
“Pendirian Pemuda sejak daripada awal lagi kita mahu BN menampilkan lebih ramai calon-calon baharu dan muda yang boleh memberikan satu isyarat BN ini komited kepada mewajahkan parti yang melakukan rejuvenasi tahap pembaharuan tinggi dari segi dalamannya.
“Sudah tentu kalau kita lihat komitmen yang telah diberikan oleh pucuk pimpinan pada PRN Melaka, 84 peratus muka baharu yang ditampilkan, PRN Johor 79 peratus ditampilkan dan buat pertama kali kita di peringkan Pemuda BN sudah ada 13 wakil-wakil rakyat dan daripada itu lapan sudah dilantik sebagai Exco kerajaan negeri. Ini membuktikan bahawa apabila Pengerusi BN menyatakan komitmen melakukan perubahan dan mewajahkan parti dengan wajah yang baharu, ianya sudah direalisasikan pada kedua-dua PRN,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Asyraf turut memaklumkan arahan turut dikeluarkan kepada 13,205 Pemuda cawangan seluruh negara untuk bersiap sedia sekiranya berlaku musibah banjir dan sebagainya lagi.
“Kita turut buat pengarahan kepada cawangan Pemuda seluruh Malaysia untuk membantu dan siap siaga sekiranya berlaku musibah banjir tatkala tempoh pilihan raya…kita harus manfaatkan jentera yang ramai di akar unbi dan orang pertama bantu pihak kerajaan,” ujarnya.- UMNO Online