KUALA LUMPUR, 29 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap rakyat tidak melupakan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang gagal dalam melakukan tadbir urus termasuk dalam menangani COVID-19.
Katanya, tindakan penyandang Parlimen Pagoh itu dengan melaksanakan darurat di seluruh negara adalah sesuatu yang perlu diambil pengajaran kerana ianya dilakukan demi menyelamatkan kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu negara pada ketika itu.
“Pakatan Harapan (PH) ini ada banyak perkara yang kita selongkar tapi PN ini bagaimana? Saya hendak ceritakan tentang pelaksanaan darurat yang sebenarnya bukan sebab COVID-19 tetapi sebab darurat politik.
“Sepatutnya Muhyiddin tidak menasihatkan untuk mengantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) malah tidak ada negara luar yang berhadapan dengan COVID-19 digantung (Parlimen)… rupa-rupanya dia takut hilang kuasa.
“Ini satu penipuan besar-besaran pada pandangan saya, kita bukan tidak reti mengira berapa kerusi yang dia ada, pembangkang ada, berapa orang yang tidak menyokong dia kalau ada pengundian dan sebagainya. Akhirnya diadakan darurat COVID-19 kononnya… sedangkan ianya adalah darurat politik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program PRU15 Stabil Dan Makmur? Menerusi program #AmbangPRU15 disiarkan melaui MalaysiaGazette, malam tadi.
Ahmad yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian malah berkata kegagalan itu juga termasuk ketidakprihatinan kerajaan PN dalam menjaga kebajikan rakyat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya lagi, tindakan mengenakan sekatan perjalanan kepada rakyat memberikan kesan negatif kerana ada antaranya kehilangan pekerjaan, peningkatan kes bunuh diri sehinggakan adanya trend mengangkat bendera putih bagi mereka yang terdesak dan berhadapan dengan bebanan kewangan untuk membeli barangan keperluan makanan.
“Satu lagi mereka gagal dalam mengatur COVID-19 dengan baik akhirnya ramai rakyat yang membunuh diri, angkat bendera putih walhal perkara itu boleh dielakkan jika beliau selaku Perdana Menteri pandai melaksanakan kerjanya.
“…dan Malaysia juga termasuk dalam negara paling lama dikurung dibanding dengan negara-negara lain, itu di bawah pimpinan beliau. Jadi ini semua kita perlu ingat bagaimana kegagalan sehingga ada (hashtag) #kerajaan gagal yang dilemparkan kepada beliau selaku PM pada ketika itu,” ujar beliau.
Dalam pada itu, menurut Ahmad lagi rakyat perlu menolak kepimpinan seperti Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Pilihan Raya Umum ke-15 termasuk juga Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan mereka sudah lama berada dalam ‘sandiwara’ politik negara.
“Saya kira cukuplah beliau (Muhyiddin) untuk menjadi Perdana Menteri berilah kepada orang lain, sama juga Tun Mahathir dan Anwar ini cukuplah mereka ini, berapa lama lagi kita hendak mendengar berkenaan mereka ini, tidak ada orang lainkah? Selain Tun Mahathir, Muhyiddin dan Anwar?
“Itu sahajakah nama dalam dunia politik ini? Kita kena dengar nama seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta tokoh-tokoh lain supaya mereka juga mempunyai keupayaan untuk diberikan peluang sekali lagi bagi menerajui negara ini untuk fasa-fasa seterusnya,” katanya. – UMNO Online