KUALA LUMPUR, 1 Nov – Tindakan Pakatan Harapan (PH) mengulang-tayang serta ‘mengitar semula’ skrip dan penipuan yang sama mereka gunakan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu sudah dijangkakan, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.
Jelasnya, janji PH untuk menghapuskan tol sekali lagi berkumandang dalam kempen mereka di Perak dan tidak mustahil janji-janji yang sama akan digunakan semula.
“Seperti yang kita jangkakan… mereka akan ulang-ulang skrip dan penipuan sama yang digunakan ketika PRU ke-14 lalu.
“Seperti laporan Free Malaysia Today, janji hapuskan tol sekali lagi berkumandang dalam kempen PH di Perak. Tidak mustahil selepas ini mereka akan ulang hapus hutang PTPTN, hapus cukai itu, hapus cukai ini dan segala harapan palsu untuk memperbodohkan rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurut Zahida, rakyat sudah serik kerana ditipu oleh PH selama 22 bulan namun mereka masih tidak serik untuk menipu.
“Rakyat dah serik 22 bulan kena tipu dengan PH, mereka sahaja yang masih tak serik-serik untuk menipu dan terus menipu.
“Jadi selepas ini jika ada dengar apa-apa janji mereka, cukuplah sekadar dengar, tapi percaya jangan sekali.
“Pada 19 November nanti tetapkan pendirian, pangkah lambing UMNO/Barisan Nasional (BN) pada kertas undi. Pedulikan apa orang nak kata,” katanya lagi.
Pada hari ini media melaporkan bahawa PH sedia memansuhkan tol di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sekiranya diberi mandat untuk membentuk kerajaan selepas PRU ke-15.
Sikap PH yang menggunakan skrip yang sama membuatkan rakyat meragui janji mereka kerana selama 22 bulan rakyat hanya dihidangkan dengan janji ‘bulan-bintang’ yang tidak berkesudahan. – UMNO Online