SENAWANG, 9 Nov – Kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk urus tadbir negara dengan baik sejak mengambil alih kerajaan selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menyebabkan rakyat merana sehingga ke hari ini.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembangunan negara terencat disebabkan terlalu banyak parti yang memerintah dalam pakatan tersebut dan mereka mempunyai agenda masing-masing.
“Selepas mencapai kemerdekaan, kita dapat membangunkan Malaysia ini dengan jayanya kerana kestabilan politik. Ini faktor utama. Pelbagai agenda yang kita rancang dapat dilaksanakan kerana kerajaan pada ketika itu mantap dan stabil.
“Tetapi, tahun 2018 merupakan satu titik hitam kepada negara kerana bermula pada tarikh ini negara kita amat tidak stabil dan diuruskan oleh orang yang tidak berpengalaman. Menteri tidak ada pengalaman dan datang dari pelbagai parti.
“Masing-masing mempunyai agenda tersendiri dan perkara paling hebat yang dibahaskan ialah siapa bakal jadi Perdana Menteri. Bukan membahaskan bagaimana untuk membangunkan negara, tetapi bergaduh merebut jawatan Perdana Menteri apabila Tun Dr Mahathir letak jawatan,” katanya ketika menyampaikan ceramah di sini, Selasa malam.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO itu turut berkata, sekiranya negara ditadbir oleh Dap, maka tamatlah riwayat orang Melayu mentadbir serta hilanglah hak keistimewaan orang Melayu.
“Dap ini kita sudah tahu apa agenda mereka. Mereka tidak memperakui Perlembagaan Persekutuan, mereka menidakkan Islam sebagai agama rasmi negara dan bermacam hal lagi. Ini yang mereka perjuangkan.
“Bayangkan sekiranya mereka kembali mentadbir, maka tamatlah riwayat orang Melayu untuk memacu negara dan keistimewaan yang diperjuangkan nenek moyang kita sebelum ini juga akan hilang,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, PH sudah terbukti gagal untuk mengurus ekonomi negara dan perkara ini mengakibatkan para pelabur menarik diri daripada melabur di Malaysia.
“Mereka tidak tahu nak uruskan negara terutamanya dari segi ekonomi. Naik sahaja jadi kerajaan, banyak projek dibatalkan. Dah batal, kena bayar RM380 juta pula kepada Singapura.
“Projek-projek ini dibatalkan tanpa mengambil kira perjanjian yang telah dibuat. Sebab itu para pelabur sudah tidak mahu datang ke Malaysia. Mereka fikir, ‘apa punya kerajaan, perjanjian antarabangsa pun berani mereka batalkan’. Saya tidak boleh bayang apa pemikiran menteri-menteri mereka pada ketika itu,” katanya lagi.
Mohamad turut berkata, sekiranya pada PRU ke-15 kerajaan yang tidak stabil dibentuk semula, rakyat akan kembali merana.
“Disebabkan 22 bulan ini kita menderita. Kalau dipilih lagi kerajaan yang tidak stabil ini kita akan kembali merana. Inilah akibatnya kalau kita salah pilih.
“Kita mesti berhati-hati memilih pada 19 November ini. Ini bukan pemilihan Akademi Fantasia. Ini adalah pemilihan untuk menubuhkan kerajaan. Kita sudah tidak mampu untuk sekali undi, dapat tiga Perdana Menteri.
“Rakyat dah tengok pelbagai jenis kerajaan. Ada Perdana Menteri yang sanggup mengisytiharkan darurat dengan menggantung Parlimen kerana mahu menyambung nyawa dalam politik. Akhirnya rakyat yang merana kerana hilang punca pendapatan,” katanya lagi.
Tegasnya, adalah menjadi tugas rakyat untuk menentukan nasib negara seusai PRU ke-15 kelak.
“Ini tugas kita. Ekonomi, negeri dan negara mesti diurus dengan baik. Untuk itu, majoriti yang besar diperlukan untuk membentuk negara. Rekod telah menunjukkan bahawa UMNO/BN sahaja yang mampu untuk menguruskan negara dengan baik.
“Kita tahu kita bukan maksum. Ada cacat-cela. Kita akan betulkan semula dan belajar daripada kesilapan lalu bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat terjamin bagi membentuk kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya lagi.
Sejak peralihan kerajaan PH selepas PRU ke-14, berlaku ketidaktentuan politik sehingga menyebabkan ekonomi negara merundum sehingga ke hari ini.
Kesan daripada ketidakstabilan tersebut, rakyat telah merana kerana kebajikan mereka tidak terbela dan PRU ke-15 ini adalah peluang untuk memperbetulkan semula tadbir urus negara. – UMNO Online