KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim digantung keseluruhan jawatan di peringkat cawangan serta bahagian untuk sementara waktu akibat terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penggantungan ini selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO kerana ada aduan sahih berkenaan tingkahlaku, sikap dan kecenderungan kedua-dua individu terbabit.
“UMNO ingin memaklumkan penggantungan sementara keseluruhan jawatan di peringkat Cawangan dan Bahagian dua Ketua Wanita UMNO Bahagian iaitu Datin Seri Shamsiah Yassin (Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau) dan Datin Seri Datuk Fatimah Kassim (Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran).
“Penggantungan ini adalah selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO kerana ada aduan sahih berkenaan tingkahlaku, sikap dan kecenderungan kedua-dua Ketua Wanita UMNO Bahagian terbabit secara langsung atau tidak langsung serta menyokong calon parti lawan pada PRU ke-15 ini,” katanya.
Katanya, butiran lanjut dan pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat kepada Lembaga Disiplin dan akan melakukan pemantauan berterusan terhadap ahli-ahli UMNO sepanjang tempoh berkempen PRU ke-15 ini.
“Butiran lanjut dan pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat apabila aduan ke atas kedua-dua Ketua Wanita berkenaan kepada Lembaga Disiplin.
“UMNO ingin menegas, pemantauan berterusan akan dilakukan terhadap ahli-ahli parti sepanjang tempoh kempen PRU ke-15 ini bagi memastikan tiada unsur-unsur sabotaj dilakukan terhadap calon dan parti,” katanya lagi. – UMNO Online