KUALA LUMPUR, 16 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 adalah mengenai masa depan negara, bukan untuk mana-mana pemimpin.
Justeru katanya, rakyat perlu melihat tawaran-tawaran yang ditawarkan parti yang bertanding dan bukannya bermain sentimen dan retorik untuk menagih simpati undi.
“Rakyat perlu lebih rasional untuk memilih kemenangan parti yang mereka mahukan. Usahlah pemilihan tersebut dikaburi oleh emosi dan sebagainya. Pilihan rasional perlulah dilakukan dengan bijaksana.
“Cukuplah sekali kita diperintah oleh kerajaan 22 bulan yang gagal dan ini menyebabkan politik tidak stabil dan pertukaran kerajaan sebanyak 3 kali dalam 5 tahun. Ini amatlah tidak dapat kita terima jika mahu kestabilan negara.
“Janganlah kita cuba bereksperimen dengan sesuatu yang boleh memudaratkan kita, keluarga, masyarakat dan negara.”
Tegasnya menerusi laman Facebooknya, ingatlah akan masa depan negara yang kita sendiri akan tentukan sama ada mahu akan kestabilan atau sebaliknya.
“Kita mahukan mengembalikan sebuah kerajaan yang berwibawa dan ini hanya boleh menjadi kenyataan dengan kesepakatan kita sehati sejiwa memasang tekad mengundi BN. Hakikatnya, pemimpin datang dan pergi, tetapi andalah penyokong BN yang akan menentukan kelangsungan parti BN ini untuk masa depan negara.
“Ingatlah setiap undi anda beri kepada Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu anda sebenarnya memberi undi kepada ketidakstabilan. Jika undi diberikan untuk Perikatan Nasional (PN) ia sekadar membazirkan undi yang seharusnya untuk kemenangan BN,” katanya.
Ujar beliau yang merupakan calon BN bagi kerusi Bagan Datuk, BN sebuah gabungan mempunyai tradisi yang panjang dan besar yang wajib dimenangkan, maka semua pihak perlulah mendukung dan mengundi BN.
“Jangan pula tidak keluar mengundi dan berasa selesa kerana tidak ada yang mudah untuk semua parti yang bertanding untuk menang kecuali dengan kerja kuat dan usaha berterusan hingga saat akhir.
“Ketika inilah kesetiaan, sikap dan keyakinan pendukung BN diuji. Marilah kita membawa gelombang perubahan untuk BN pada pilihan raya kali ini!
“Rapatkan barisan, gandakan gerak kerja. Selebihnya kita berserah kepada Yang Maha Esa. Insya Allah,” katanya lagi. – UMNO Online