KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berpandangan Barisan Nasional (BN) sedia untuk menjadi pembangkang pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu, namun kegagalan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam soal pembentukan kerajaan menyebabkan BN terheret sama dalam situasi berkenaan.
Menerusi Live Facebook beliau, Isham seterusnya berkata dalam keadaan tersebut, BN terpaksa membuat pilihan berdasarkan pertimbangan sewajarnya bagi menjayakan penubuhan sebuah kerajaan.
“Semalam saya dah cakap kedudukan semasa kita adalah untuk menjadi pembangkang berdasarkan keputusan PRU yang lalu dan ianya disokong oleh pelbagai pihak memandangkan rakyat telah memilih BN untuk menjadi pembangkang….jadi kita jadi pembangkanglah.
“Sebab itu saya berpandangan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) berunding untuk membentuk kerajaan… Kita tidak ada masalah 30 ahli Parlimen kita akan jadi pembangkanglah.
“Cuma masalahnya pagi tadi saya difahamkan mereka tidak boleh berunding antara PH dan PN. Jadi hari ini situasinya apabila kedua-dua parti berkenaan tidak boleh berunding bersama dan tidak boleh membentuk kerajaan, situasinya siapa-siapa pun tidak membentuk kerajaan tanpa BN. Itu pula senario yang berlaku dan situasi hari ini kita pula yang kena pilih,” katanya.
Isham seterusnya menambah beliau tidak dimaklumkan perkembangan semasa oleh pucuk pimpinan, namun situasi setakat ini masih lagi tidak ada sebarang keputusan.
“Sebab kita diberikan masa oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong…tetapi sekarang ini PH dan PN tidak boleh berunding sesama mereka dan memerlukan BN. Jadi BN pula yang kena pilih untuk bekerjasama dengan siapa samaada PN atau PH. Jika tidak kerajaan tidak boleh dibentuk. Itulah situasinya sekarang ini.
“Hari ini PH datang jumpa kita…yang ada PH. Jadi itulah senarionya dan kita pula dalam situasi tanpa ada BN kerajaan tidak boleh dibentuk. Apa pun kita perlu membentuk kerajaan. Jadi kita pula yang kena buat keputusan dan setakat ini tidak ada apa-apa keputusan.
“Saya tidak dimaklumkan oleh kepimpinan tertinggi parti tentang sebarang keputusan dan sesiapa yang mahu jumpa datanglah jumpa. Itu tidak menjadi masalah. Tiba-tiba pula senarionya berubah BN kena pilih untuk bekerjasama dengan siapa. Pada saya ini satu keputusan yang sukar juga untuk membuat keputusan. Kalau tidak kerajaan tidak boleh dibentuk,” ujarnya.- UMNO Online.