KUALA LUMPUR, 25 Nov – Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara yang menamatkan kemelut politik pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Sabtu lalu.
Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan semoga Malaysia bertambah baik di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri dan berharap semua pihak dapat menerima baik pelantikan Anwar itu.
“Meskipun mengambil masa beberapa hari, dan diikuti oleh seluruh dunia proses yang berlaku ini, namun kita bersyukur kepada Allah ia berjalan dengan baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian menerusi catatan di Facebooknya.
Ujarnya, semua pihak wajib menjujung titah Yang di-Pertuan Agong supaya bekerjasama membangunkan negara serta mengelakkan kemelut politik yang boleh merencatkan ekonomi dan pembangunan negara.
“Keputusan ini perlu diterima dengan baik oleh semua pihak kerana ia sudah diperhalusi dengan sebaiknya oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.” – UMNO Online