SETIAUSAHA Agung Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kemeriahan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada kali ini dijangka lebih hebat daripada tahun sebelumnya meskipun dalam keadaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
“Kali ini, kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya negeri pula,” katanya.
Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka mengadakan PRN tidak lama lagi kerana tidak menyertai PRU15 baru-baru ini.
Sementara itu, Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, persiapan PAU masih berjalan seperti biasa untuk memastikan para perwakilan tetap bersemangat bagi meneruskan perjuangan parti.
“Jadi apa yang kita lakukan pada PAU ini di kala kita kalah namun mempunyai peranan yang amat besar bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Sedikit sebanyak semangat yang ada itu kita kekalkan untuk muhasabah diri bagi melaksanakan ‘the way forward’ atau jalan ke hadapan yang tertentu bagi memastikan kita berjaya dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.