DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin terdapat formula bagi menyelesaikan ketidaktentuan politik di Sabah ketika ini.
Tanpa menyatakan secara lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri berkata anta formula itu antaranya memperincikan kehendak atau ‘wishlist’ yang dikemukakan pihak terlibat, namun pastinya ia akan dipertimbang secara rasional.
“Formula penyelesaian itu akan dibawa dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam masa terdekat.
“Walaupun ia (kemelut politik Sabah) nampak besar, tetapi saya yakin ada formula yang akan kita bawa ke Kota Kinabalu, dan saya fikir ‘gencatan senjata’ mesti dilakukan sekarang, dan tidak ada sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak yang menyentuh mengenai perkara itu.
“Rakyat jangan dibebani jika berlaku ‘hung government’ ataupun masalah perundangan mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri ataupun perlembagaan negeri itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media, di sini, semalam.