TIMBALAN Presiden, Mohamad Hasan berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) tewas di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akibat diserang hebat dalam perang kognitif.
Ujar Timbalan Pengerusi BN itu, perang kognitif yang dilancarkan oleh pihak lawan terutama Perikatan Nasional (PN) secara konsisten menggunakan ruang maya sebagai lubuk untuk menanam sentimen jahat terhadap Umno seperti rasuah, kotor, gila kuasa dan segala kata nista yang menjengkelkan.
“Tidak cukup dengan itu mereka melabel pemimpin kita kleptokrat, tidak bermoral dan segala macam lagi tohmahan lain yang mampu mencemar kepimpinan kita.
“Semuanya disampaikan dalam pelbagai bentuk grafik, video dan banyak lagi naratif lain. Dipancar dan disebar luaskan melalui platform Tik Tok, Instagram, Facebook, WhatsApp dan Twitter.
“Di ambang pilihan raya, strategi ‘cognitive war’ ini telah mereka giatkan berlipat kali ganda. Kita juga diserang hebat, oleh ‘cybertroopers’, dari pelbagai arah,” katanya lagi.
Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini malam ini.
Tambah Mohamad lagi, motif mereka adalah untuk mempengaruhi pemikiran dan mengubah keyakinan masyarakat terutamanya orang Melayu bahawa UMNO tidak layak menjadi wakil mereka.
“Sehari demi sehari ia menjadi kepercayaan dan keyakinan rakyat bahawa UMNO itu sinonim dengan segala kecurangan dalam politik.
“Inilah, yang Perikatan Nasional lakukan dengan amat berkesan. Mempengaruhi golongan muda dan pengguna media sosial, seperti Tik Tok, dan Instagram dengan melancarkan perang besar-besaran dengan ‘content’ yang amat toksik untuk mengajak orang Melayu, membenci, serta meninggalkan UMNO. Mereka belanja beratus juta,” tegasnya lagi.