AHMAD Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan sama ada dua jawatan tertinggi parti itu perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan nanti, yang perlu diadakan sebelum 19 Mei ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pelbagai pandangan telah dilontarkan berhubung pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, namun beliau yakin para perwakilan sudah cukup matang untuk membuat penilaian sesuai dengan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan. Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya.
“Namun, saya yakin ahli-ahli boleh menilai yang mana kaca, yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ori (tulen) yang mana fake (palsu),” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.