Timbalan Perdana Menteri berkata Umno Pusat juga akan sentiasa mendukung citra serta strategi kepimpinan Umno Sabah yang dipimpin Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Malah apa yang berlaku mutakhir ini di Sabah, saya ingin membuat penegasan bahawa Umno Pusat akan tetap bersama dengan Umno Sabah,” kata Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini semalam, yang dihadiri 2,820 perwakilan.
Pada 11 Jan lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang antaranya menyaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilantik Timbalan Ketua Menteri I menggantikan Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah.