UMNO tidak pernah diketepikan atau ‘dilanyak’ seperti dakwaan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha Agung, Ahmad Maslan berkata walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun ia berada dalam gabungan yang saling memerlukan.
“Jangan samakan semasa kita dalam pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini. Semua pihak harus bergerak ke hadapan dalam memastikan kedudukan kerajaan dengan 148 kerusi ketika ini dapat terus diperkukuhkan.
“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) selepas 25 tahun tidak hadir ke Menara Dato Onn, baru-baru ni hadir untuk mesyuarat mengenai urus setia Kerajaan Perpaduan. Dan 20 parti bersetuju menjadikan Ibu Pejabat Umno sebagai pusat urus setia Kerajaan Perpaduan.
“Jadi, saya tak fahamlah macam mana mereka pula ‘melanyak’ dalam bab itu ya. Dari segi jumlah menteri dan timbalan menteri itu kena ikut kuota kemenangan kerusi… mana yang lebih itu biasanya lebih banyak dapatlah.
“Jadi oleh kerana Umno dan BN hanya 30 (kerusi), maka kuotanya (ialah) apa yang telah diberi itu,” jelasnya yang menambah, tidak timbul soal menteri Umno dilanyak seperti pembangkang.