SETIAUSAHA Agung, Ahmad Maslan berkata Umno kekal komited dalam menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal demi kestabilan politik negara.
Beliau berkata ia selaras dengan resolusi yang dicapai dalam Pehimpunan Agung bulan lepas.
“Jadi apabila kita sokong kerajaan ini, maksudnya Anwar adalah Perdana Menteri yang kita ada (hingga akhir penggal)… supaya wujud kestabilan dalam negara kita,” katanya kepada pemberita di Bangi, semalam.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata demikian ketika menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan hasrat untuk melihat Anwar kekal sebagai Perdana Menteri terakhir dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka semasa pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 pada 13 Februari.