KERAJAAN tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang berterusan memainkan isu perkauman dan agama.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata justeru, kerajaan akan terus menunjangi soal berkaitan Islam dan bangsa Melayu tanpa mengetepikan agama serta bangsa lain.
“Tidak akan pernah luntur rasa kemelayuan dan tidak cair keimanan kita kalau kita menyantuni bangsa serta agama lain,” katanya semasa merasmikan majlis anugerah sempena Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-42 dan 43 di Banting, malam tadi.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk dan kemajmukan itu harus disantuni demi mewujudkan suasana yang harmoni dalam masyarakat.