KETUA Pemuda, Dr Akmal Saleh mengingatkan MCA agar tidak sekalli-sekali memikirkan untuk keluar dari Barisan Nasional kerana ia adalah salah satu keluarga BN.
“Kita bersama dalam susah dan senang. Inilah semangat yang ada pada kita dan tidak ada pada gabungan lain,” katanya kepada FMT.
Akmal berkata setiap parti komponen BN sepatutnya memberi tumpuan kepada memperkasakan gabungan itu dan bekerjasama menarik semula sokongan rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan presiden MCA Wee Ka Siong kelmarin bahawa parti itu sudah bersedia untuk menentukan hala tujuan sendiri jika ada komponen BN mahu menyertai gabungan lain.
Wee berkata MCA sedia bersendirian, dalam erti kata bermula dari asal.
Julai lalu, Wee menolak untuk menyertai Perikatan Nasional selepas MCA dan MIC memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihanraya negeri.