KEPUTUSAN memecat Ahli Majlis Tertinggi (MT) Isham Jalil daripada parti itu dibuat oleh MT parti, kata Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh MT parti tanpa perlu melalui Jawatankuasa Disiplin.
“Jawatankuasa Disiplin pun akan bawa ke Majlis Tertinggi, Majlis Tertinggi akan memutuskannya. Apa yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi itu adalah muktamad,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan Isham tidak diadili oleh Jawatankuasa Disiplin parti dan keputusan pemecatan itu dibuat oleh presiden parti.
Ditanya sama ada keputusan itu sebagai amaran kepada pihak yang mengkritik Umno dan presiden parti, Ahmad Zahid berkata tindakan mengkritik presiden tidak menjadi pertimbangan bagi keputusan itu dibuat.
“Tetapi apabila menghina parti sendiri dan mengecilkan Umno sebagai sebuah parti yang dianggotainya, ertinya tindakan itu dilakukan MT supaya tidak ada usaha ‘tikus membaiki labu’ ini dalam Umno itu sendiri.
… Orang itu kalau ada lagi dalam Umno akan rosak lagi parti” katanya.