VETERAN Umno, Datuk Mustapha Yaakub mempersoal peranan Ahli Majlis Tertinggi (MT) sehingga ditegur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjelaskan hubungan dengan DAP.
Katanya, ahli parti itu sepatutnya perlu mengambil inisiatif sendiri dalam memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada rakyat.
“Saya terkedu apabila PMX menasihati kepimpinan Umno supaya turun padang bagi menjelaskan hubungan dengan DAP. Kenapa biarkan orang lain bersuara sebegitu?
“Di mana Ahli MT yang ramai itu? Umno ada 191 bahagian. Tidak boleh ke setiap ahli MT ditugaskan untuk menjadi abang angkat, bapa angkat, datuk angkat kepada beberapa bahagian untuk turun padang bagi menerangkan kekeliruan tentang hubungan Umno-DAP?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri menasihati Umno untuk kerap turun padang bertemu dengan ahli akar umbi dan rakyat untuk memberi penjelasan berkenaan beberapa isu yang membelenggu parti itu terutama mengenai hubungan baik dengan DAP.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, perkara itu perlu dilakukan jika Umno mahu memulihkan parti itu yang kini dilihat sokongan yang diterimanya semakin merosot.
Mustapha dalam masa sama turut mempersoal tindakan ahli MT yang dilihat seperti tidak memainkan peranan sebaiknya, namun hanya berebut ingin mendapatkan jawatan dan bertanding dalam pilihan raya.
“Apakah mereka hanya mahu menjadi MT sebagai tiket untuk bertanding dalam pilihan raya? Bila parti kalah Presiden disalahkan.
“Suruh Presiden letak jawatan. Konon Presiden yang bertanggungjawab. Sedangkan mereka tidak buat kerja,” katanya.
Veteran itu dalam masa yang sama turut mengingatkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 semakin hampir dan kerja turun padang perlu dibuat segera bagi mengekalkan Umno supaya terus relevan.
“Masa semakin singkat. PRU16 akan diadakan dalam masa tiga hingga empat tahun lagi. Cawangan dan bahagian masih lagi pengsan akibat tumbukan PRU15. Bila nak bangun?
“MT kena buat sesuatu mulai sekarang. Tidak guna berkonvensyen kalau hanya untuk menjadi program tahunan berjumpa dan bertemu dalam kalangan AJK bahagian dan cawangan. Program ‘hu ha hu ha’. Program makan-makan. Habis program balik tidur,” ujarnya lagi. – UTUSAN