UMNO perlu mengubah strategi dan pendekatan sebagai sebuah parti politik bagi membendung trend penolakan pengundi di kawasan bandar dan luar bandar.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, dimensi baharu mendekati rakyat di peringkat akar umbi perlu dilakukan oleh UMNO bahagian yang tidak seharusnya tertumpu kepada ahli-ahli UMNO atau kelompok tertentu sahaja tapi perlu diperluaskan kepada masyarakat lain.
Menurutnya, apa yang diperhatikan kebanyakan program seperti program ziarah lebih tertumpu kepada ahli-ahli parti yang sudah tentu tidak dapat memberikan impak dan nilai tambah sokongan rakyat kepada UMNO.
Bung Moktar berkata, selain penyokong tegar UMNO, masih ada kelompok yang tidak berparti, mereka yang uzur dan tidak berkemampuan yang memerlukan perhatian walaupun berlainan parti, persatuan belia, persatuan ibu tunggal, persatuan persara kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan lain yang perlu didekati.
“Kita perlu ubah pendekatan dengan dimensi baharu, komuniti ini sudah tentu mempunyai ahli dan penyokongnya, jika kita dekati dengan berhemah penuh mesra, dibantu apa keperluan mereka, tidak mustahil mereka akan menyokong perjuangan UMNO,” katanya ketika berucap dalam majlis Amanat Ketua UMNO Sabah 2024, bersama pimpinan bahagian UMNO dari seluruh bahagian Sabah di Kota Kinabalu, kemarin.
Hadir sama, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin, Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Haji Nasir, Ketua Wanita UMNO Sabah Senator Datuk Noraini Idiris dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO bahagian papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Justeru, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menggesa semua pemimpin UMNO meneliti semula apa yang perlu dilakukan dan bagaimana boleh mengubah trend penolakan pengundi terhadap UMNO.
Menurutnya, UMNO kena membawa konsep politik kestabilan ekonomi rakyat, politik pembangunan ekonomi, perniagaan seiring dengan cabaran ekonomi yang merundum ketika ini, selain politik mensejahterakan kehidupan rakyat.
“Kita tidak lagi dengan pendekatan budaya lama dari segi penyusunan program, contoh jika mendekati golongan muda tidak sekadar menganjurkan kejohanan sukan, membantu peralatan sukan.
“Tapi program memberikan ilmu pengetahuan untuk golongan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan perlu dianjurkan dengan kerjasama dari beberapa agensi kerajaan berkaitan agar golongan belia dapat didedahkan dengan ilmu serta peluang disediakan oleh kerajaan untuk menjana ekonomi mereka,” katanya.