PIHAK polis setakat ini menerima 36 laporan terhadap pasar raya KK yang menjual sarung kaki yang tertera kalimah ‘Allah’, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Polis sudah pun membuka kertas siasatan mengenainya.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta semua pihak agar jangan mencetuskan provokasi keagamaan.
Katanya, bukan Islam harus menghormati orang Melayu dan Bumiputera bagi menjamin keharmonian kaum.
Semalam, ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh menuntut agar semua 881 cawangan KK di seluruh negara memasang kain rentang ‘memohon maaf’ dalam tempoh dua hari atau menerima tindakan ‘drastik’.