PEMIMPIN UMNO, terutama di Johor menggesa agar seorang ahli PAS dikenakan tindakan keras kerana hantaran di Facebooknya yang menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja-Raja Melayu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Ahmad Maslan, Noraini Ahmad dan lain-lain menyifatkan perbuatan Hezry Yasin sebagai keterlaluan dan satu pendurhakaan.
Sebanyak 26 bahagian UMNO Johor sudah membuat laporan polis terhadapnya.
Dalam hantarannya, Hezry berkata dia tidak lagi menadah tangan untuk mendoakan kesejahteraan Raja-Raja Melayu di setiap doa solat Jumaat.
Dia juga menuduh kononnya Raja-Raja Melayu menggunakan kuasa mereka bagi ‘merampas’ hak rakyat serta tidak menegakkan Islam di negara ini.
Hezry sudah memohon maaf dan menarik balik hantaran FBnya itu dan berkata dia tidak bermaksud untuk tidak menghormati institusi raja.