MALAYSIA menggesa semua pihak untuk mengelak dan berhati-hati agar tidak memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau Asia Barat.
Ia susulan serangan oleh Iran sebagai serangan balas terhadap serangan bom awal oleh rejim Israel terhadap konsulat Iran di Damascus pada 1 April lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang bentuk provokasi dan/atau tindakan balas akan memburukkan lagi konflik di wilayah berkaitan tidak akan memberi manfaat kepada Palestin.
“Matlamat utama Israel adalah jelas iaitu mengalihkan perhatian masyarakat global daripada tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan mereka di Palestin.
“Malaysia seterusnya menyahut seruan Setiausaha Agung PBB untuk menghentikan dan menamatkan permusuhan ini dengan serta merta.
“Sebarang bentuk serangan, ofensif atau defensif, akan membawa implikasi yang jika ia tidak dikawal akhirnya akan menyebabkan kematian lebih ramai lagi nyawa yang tidak berdosa,” katanya dalam kenyataan Isnin.
Mohamad berkata, Kerajaan Malaysia menggesa pihak-pihak yang berkenaan untuk meredakan persengketaan dan mewujudkan persekitaran yang diperlukan untuk menamatkan konflik ini dan tidak menggalakkan negara lain untuk bertindak secara agresif. ‘
Pada masa sama, Malaysia mengulangi bahawa objektif utama adalah untuk mencari keamanan dan penyelesaian kekal kepada nasib rakyat Palestin, bukannya memanjangkan lagi konflik. – UTUSAN