TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan Singapura akan terus berkembang maju dan makmur di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang berwibawa.
“Hubungan yang kukuh antara Malaysia dan Singapura dibina atas rasa hormat dan kesepakatan dan kami berharap untuk mempereratkan lagi kerjasama dalam bidang yang membawa kepada kepentingan bersama termasuk pembangunan ekonomi, pendidikan dan perdagangan.
“Dalam kita memulakan babak baru ini, kami optimis tentang peluang-peluang yang bakal hadir dan komited untuk bekerjasama rapat dengan Wong dalam meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kita,” katanya.
Wong, 51, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keempat Singapura di Istana, malam ini, menggantikan Lee Hsien Loong, 72, yang memegang tampuk pemerintahan negara selama hampir 20 tahun.
Ahmad Zahid turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lee atas kepimpinan beliau yang berwawasan dan komitmen dalam memupuk hubungan dua hala yang kukuh selama dua dekad yang lalu.
Katanya sepanjang perkhidmatan, beliau telah membawa kemajuan yang luar biasa dalam pembangunan Singapura dan hubungannya dengan Malaysia serta mendoakan Lee mencapai kejayaan yang berterusan pada masa hadapan.
Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mewakili kerajaan negeri itu yang mengharapkan hubungan erat dua hala akan diteruskan di bawah kepimpinan Singapura yang baharu demi kesejahteraan bersama.
“Syabas dan selamat maju jaya buat rakyat Singapura! Semoga terus bertambah makmur dan sejahtera. Majulah Singapura! Maju Johor!
“Kerajaan negeri juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong atas segala jasa dan kerjasama erat yang telah dijalinkan bersama Johor selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – BERNAMA