BARISAN Nasional (BN) akan menggerakkan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap walaupun calon yang bertanding bukan daripada gabungan berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jaminan itu dibuat bagi memastikan mana-mana calon yang bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan mampu meraih kemenangan, sekali gus memperkukuh sokongan kerajaan Pulau Pinang.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Kerajaan Perpaduan belum memperincikan perihal berkaitan calon yang akan bertanding di DUN berkenaan.
“Formula yang digunakan adalah mana-mana parti komponen dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang berada di kedudukan kedua (dalam keputusan Pilihan Raya Negeri, pada Ogos lalu), maka parti itulah yang akan menjadi (mengetengahkan) calon,” katanya di Shanghai, hari ini.
Kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap adalah susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, akibat radang dalam perut, Jumaat lalu.
Pada PRN Pulau Pinang lalu, Nor Zamri meraih 15,433 undi bagi menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.