TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan penghargaan kepada pengamal media tempatan yang bersama beliau dalam lawatan rasmi kerja ke China bersempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
Rentetan itu beliau yang juga Presiden UMNO berbesar hati meluangkan masa beramah mesra dengan petugas media sambil berkongsi pandangan antara satu sama lain.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan media yang turut hadir di sini mahupun yang berada di tanah air, melaporkan setiap detik lawatan rasmi saya sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
“Saya mengambil kesempatan yang ada untuk bertanya khabar dan bergambar bersama mereka di sini kerana pada pandangan saya, mereka ini adalah jambatan maklumat yang penting dalam membina hubungan antara negara.
“Dengan liputan yang telus dan beretika, media secara tidak langsung telah membantu kita untuk memahami, menghargai dan mengukuhkan hubungan bilateral di antara Malaysia dan China. Terima kasih atas khidmat bakti, jasa dan pengorbanan rakan-rakan media semua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook dari Beijing.