BN perlu kuasai semula kawasan Felda

UMNO dan BN memerlukan satu gerak kerja berfokus sekiranya mahu mengembalikan keyakinan pengundi, seterusnya menawan kembali sekurang-kurangnya 30 daripada 54 kawasan Parlimen di dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada PRU16 akan datang.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata satu kajian dan tindakan kerja yang sesuai mengikut keadaan semasa diperlukan bagi memastikan perkara tersebut dapat direalisasikan memandangkan Felda kini bukan hanya merangkumi generasi pertama atau peneroka.

“Felda sekarang sudah generasi ketiga, bukan generasi peneroka sahaja lagi yang mana generasi kedua ada yang duduk di bandar, manakala generasi ketiga semuanya sudah di bandar. Jadi attachment tentang semangat atau roh penubuhan Felda itu sudah tidak ada lagi.

“Walaupun pengundi di Felda, tetapi keberadaan mereka dalam masyarakat seperti di bandar atau luar bandar, dan untuk itu kita perlukan cara sesuai mengikut keadaan kerana mereka terdedah dengan pelbagai maklumat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jasin di Dewan Alamanda di Jasin, Melaka, semalam.

Katanya, kawasan Felda merupakan kubu kuat BN khususnya Umno sebelum ini dan kehilangan banyak kerusi di kawasan tersebut sejak dua PRU lepas merupakan satu tamparan hebat kepada parti.

“Angka yang jangan terlampau ambitious, jangan terlampau bercita-cita tinggi. Jadi kita kekalkan beberapa kerusi di kawasan Felda yang kita menang sekarang dan secara keseluruhan jika kita dapat 30 kerusi dari Felda pun, sudah suatu pencapaian yang baik,” katanya. – Bernama