‘Hentikan jual saham MAHB kepada BlackRock!’

UMNO mahu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tidak meneruskan jualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Israel, BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun keputusan itu dibuat tanpa melalui Kabinet, beliau berharap keputusan itu dapat dikaji semula.

“Kita menteri-menteri UMNO memberikan pandangan jika boleh perkara ini (penswastaan kepada syarikat pro- Israel) tidak diteruskan tapi dia punya transaction itu sudah terlampau advanced.

“Jadi kita tengoklah macamana (tapi) kira harap…kita tak tahu sama ada ia diteruskan atau pun tidak (keputusan) bukan di kalangan kita,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya keputusan itu dibawa kepada Jemaah Menteri kerana yakin menteri-menteri daripada UMNO akan membantah cadangan tersebut.

Menurut Khairy lagi, tindakan Khazanah menjual 30 peratus pegangan saham kepada konsortium itu menentang dasar kerajaan yang selama ini memperjuangkan soal kemanusiaan Palestin.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Khazanah sebagai sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan (MoF) perlu menilai semua keputusan itu.