PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, kenyataan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung dakwaan penyertaan syarikat BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP) dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd. (MAHB) adalah bersifat peribadi dan bukan parti.
Sebaliknya, beliau menegaskan pendirian UMNO tetap bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pendirian UMNO jelas, sama dengan pendirian yang dibuat oleh Perdana Menteri. Pendapat yang diberi oleh Tok Mat (Mohamad) adalah pendapat peribadi.
“Saya telah bertemu dengan beliau malam tadi dan menyatakan itu pandangan peribadi, bukan UMNO secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM Seluruh Malaysia di sini, pada Isnin.
Ahmad Zahid menjelaskan, isu berkenaan ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.
“Ada dibawa (dalam mesyuarat Kabinet) tapi tidak dibincangkan secara terperinci seperti penjelasan semalam, tetapi pada (mesyuarat) pra-Kabinet baru dibincangkan secara terperinci kepada seluruh ahli Parlimen Dewan Rakyat dan juga Dewan Negara serta menteri dan timbalan menteri,” katanya.
Pada Ahad lalu, Mohamad Hasan mendakwa keputusan penjualan saham MAHB kepada GIP berkenaan tidak dibuat melalui Kabinet, namun masih mengharapkan ia dikaji semula.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan semua pihak tidak menjadikan isu penglibatan GIP dalam penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB sebagai wayang politik untuk menghentam kerajaan membabitkan isu Palestin.
Malah katanya, beliau pada setiap masa bersikap keras dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, namun pada masa yang sama tidak mahu melemahkan ekonomi Malaysia.