PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan berkempen secara sihat dan secara profesional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos depan.
Tegas beliau umumnya sudah tahu pelbagai fitnah akan dilontarkan sepanjang kempen itu nanti dan sudah pasti jentera parti pelbagai peringkat akan mematahkan tohmahan berkenaan.
Kita ini akan berjalan lebih baik… insya-Allah tidak akan memburukkan lawan asalkan lawan tidak memburukkan kita dan bekerja secara profesional. Malah kita tidak akan melakukan fitnah walaupun kita tahu mereka akan melontarkan fitnah kepada kita.
“Kita perlu menangkis semua fitnah dan tohman yang dilontarkan dan saya mohon bukan hanya jentera secara konvensional untuk bersemuka dengan pengundi-pengundi malah jentera media sosial juga akan terus berada bersama-sama untuk menangkis semua tohmahan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama calon BN di Balai Rakyat Bukit Cekati, di sini, hari ini. Turut serta Pengarah Pilihan Raya BN PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta pimpinan negeri dan setempat yang lain.
Ahmad Zahid seterusnya menambah penjelasan dan penerangan sebaiknya perlu diberikan kepada masyarakat setempat supaya segala tohmahan berkenaan dapat dijelaskan sebaiknya.
“Kita perlu berikan penjelasan supaya BN nampak baik, UMNO nampak baik… Kerajaan Perpaduan telah berusaha untuk melakukan yang terbaik, terus baik di mata para pengundi di negeri ini.
“Kita ucapkan terima kasih kepada influencer dalam kalangan media sosial UMNO serta BN… dan saya harap media sosial rakan-rakan daripada PH juga harus memperlihatkan kehebatan mereka sebagaimana hebat mereka sebelum menjadi kerajaan dan saya yakin itu boleh dilakukan
“Saya yakin dengan kombinasi kempen konvensional dan kempen melalui media sosial akan menebus kekalahan kita yang hanya 810 undi saja, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online