DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mengakui beliau adalah dalang utama yang terbabit menggulingkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam usaha menyelamatkan UMNO daripada diharamkan.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, menyifatkan tindakan luar biasa itu penting untuk menentang Dr Mahathir yang didakwanya ketika itu mahu membatalkan pendaftaran UMNO.
“Maka dalam keadaan itu, di Jelai, di Sungai Koyan di sini, saya mesti menyatakan, mengakui adalah dalang utama yang menjatuhkan Tun Dr Mahathir ketika itu, demi UMNO mana mungkin diharamkan, dihina dan dilemparkan pelbagai tuduhan…dilabel sebagai perompak atau rasuah.
“Apabila saya tahu UMNO mahu diharamkan…ini telah disahkan oleh Datuk Seri Anwar (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) di Ilmu (Institut Latihan Memperkasakan UMNO).
“Anwar beritahu kami bahawa kertas untuk mengharamkan UMNO sudah ada di atas meja Menteri Dalam Negeri ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri… Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah Menteri Dalam Negeri.
“Dalam keadaan sebegitu, sudah pasti ahli-ahli khususnya kepemimpinan bergantung kepada saya untuk mengenal pasti pendekatan terbaik bagi memastikan UMNO tidak diharamkan jadi saya terpaksa mencari jalan.
“Kalau anda semua masih ingat, ketika Perhimpunan Agung UMNO 2018, saya menyatakan bahawa dalam masa terdekat kita akan menjadi sebahagian daripada kerajaan tetapi saya diejek beberapa individu tertentu yang tiada dalam UMNO,” katanya.
Beliau membuat pendedahan itu ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Cameron Highlands di Laman Sejahtera Jelai di Sungai Koyan di sini, Sabtu.
Yang turut hadir Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi UMNO Bahagian Cameron Highlands, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga Menteri Besar Pahang.
Ahmad Zahid berkata, segala kisah tersebut akan diperincikan dalam sebuah buku selepas ini.
“Tadi saya cerita hanya 10 peratus, 90 peratus dalam buku saya, lazimnya tulis buku ialah orang pencen tapi saya belum nak pencen lagi selagi UMNO bukan parti dominan, selagi itu saya dan rakan-rakan terus dalam UMNO.
“Mudah-mudahan ia jadi panduan kepada pemimpin-pemimpin UMNO akan datang yang akan ambil alih tempat saya nanti,” tambahnya lagi.
Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam apa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.
Ini membawa kepada pembentukan kerajaan baharu oleh BERSATU, Barisan Nasional (BN), dan satu kumpulan PKR yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala Muhyiddin mengambil alih sebagai Perdana Menteri.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata, kemenangan UMNO sebagai wakil Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini akan menjadi medan tebus maruah parti itu selepas tewas tipis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Beliau menyifatkan, kemenangan itu kelak dapat memberikan manifestasi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 21 hingga 24 Ogos ini.
“Saya tahu Sabtu depan ada PRK di Nenggiri dan Jelai di sini adalah pertengahan jalan antara Kuala Lumpur dan Nenggiri, Gua Musang.
“Kerana hari Sabtu, ramai pemimpin UMNO bahagian dan cawangan mahu bantu kemenangan di Nenggiri sebab kekalahan kita dalam PRN lalu cuma 810 undi.
“Ketika itu, Datuk Ramli Mohd Nor (Timbalan Speaker Dewan Rakyat) tahu ramai dalam pengundi Orang Asli (OA) tidak keluar. Ada sebab tertentu. Ramai pengundi yang berada dalam Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) pun tidak keluar dan sembilan PDM (pusat daerah mengundi) kampung tradisional, satu rancangan FELDA pun ada masalah…tapi kali ini, Alhamdulillah,” katanya.