JANGAN sesekali bermimpi wakil UMNO akan jadi perdana menteri jika jumlah kerusinya di Dewan Rakyat terlalu kecil, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita mesti atasi masalah keciputan bilangan kerusi di Parlimen terlebih dahulu,” kata presiden parti tu.
Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi. Barisan Nasional hanya memiliki 30 kerusi, 26 daripadanya Umno.
Sambil mengakui sokongan Melayu masih kurang, Zahid berkata orang Melayu perlu memikirkan lanskap baharu politik apabila Umno kini berada dalam Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai parti yang dahulunya memusuhi Umno.
Beliau turut menolak andaian bahawa DAP adalah liabiliti kepada parti itu. Menurutnya, persepsi itu wujud kerana kurangnya pemahaman yang diberikan oleh Umno dan kerajaan dalam menangani isu itu.
“Misalnya, ahli Umno sendiri ada yang tidak memahami atau tidak mahu faham akan isu yang menyentuh 3R (kaum, agama dan raja-raja) walhal ia sering dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, dan setakat ini tidak ada menteri bukan Melayu yang menentangnya.
“Ini kenyataan. Kami duduk sebelah-menyebelah dalam Kabinet. Namun persepsi buruk mengenai mereka tidak ditangani sepenuhnya.
“Parti mana yang tidak ada perbezaan pendapat tetapi mereka tidak mencabuli 3R ini.
“Ini dinamik politik Malaysia hari ini. Kita perlu membezakan di antara pendirian parti dan pendirian individu,” katanya.
Zahid juga berkata jika ada parti yang dituduh menjadi beban kepada Umno, ianya adalah satu persepsi.
“Bagaimanapun, saya mesti akui bahawa ada ahli Umno sendiri yang tak senang dengan kerjasama dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan ini kerana kurang penjelasan daripada pihak atasan,” ujarnya.
Pada perhimpunan agung 2021, Umno meluluskan resolusi ‘Tidak kepada DAP, tidak kepada Anwar”.
Bagaimanapun selepas pilihanraya umum ke-15, BN dan Pakatan Harapan menubuhkan Kerajaan Perpaduan – keputusan yang masih sukar diterima oleh ramai ahli Umno dan orang Melayu. – Star