UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedia menghentikan kerjasama dengan mana-mana gabungan disertai jika martabat Islam dan perjuangan agenda Melayu cuba dirungkai atau dicairkan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti tidak pernah mengubah atau mencairkan matlamat penubuhannya untuk memartabat Islam serta menjamin kedudukan Melayu sejak menjadi sebahagian kerajaan.
“Resam politik, bila satu pihak mentadbir, tentu ada pihak yang akan sentiasa berusaha menggugat. Biarpun sudah dijelaskan, serangan kepada UMNO kerana berada dalam kerajaan terus didendangkan.
“Naratif Melayu dan Islam terancam sentiasa dimainkan. Mereka menanam kebencian, menyuntik kejelikan dan menebal kecurigaan.
“Kebenarannya, kita tidak pernah mengubah atau mencairkan matlamat penubuhan UMNO dek kerana kita menjadi sebahagian kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempenan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid meminta orang Melayu kembali kepada politik kesederhanaan dan tidak terikut atau terbuai dengan penceritaan muluk-muluk kononnya merekalah yang berjuang demi Melayu dan agama.
“Kita insaf, UMNO bukan maksum sifatnya. Ada salah dan ada silapnya. Ada lemah dan ada kurangnya. Insya-Allah, selagi mana kita ditakdirkan berkuasa, keindukan Islam dan Melayu tetap menjadi agenda utama demi kestabilan dan kerukunan negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi memperkukuhkan agenda perkongsian kuasa berindukan Melayu dan Islam, UMNO akan menjalankan usaha secara besar-besaran, menyatukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sebagai satu gerakan.
“Gerakan ini saya namakan ‘Rumpun Melayu’ Melalui gerakan ini, kita akan bersama-sama pertubuhan yang memiliki semangat mempertahankan perkongsian kuasa.
“Kita mahu gerakan ini menjadi wadah untuk memastikan agenda Melayu dan Islam menjadi teras dalam apa juga bentuk kerjasama yang hendak dijalinkan,” katanya.
Beliau berkata, orang Melayu perlu sedar, pihak yang hanya tahu memainkan sentimen dan emosi bukannya bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu dan Islam.
“Ia hanya sandiwara politik yang mengkhayalkan. Saya ingin menyeru seluruh umat Melayu, jangan terpedaya atau terpesona dengan lisan mereka yang fasih memainkan kata-kata.
“Kesannya besar kepada kestabilan dan keharmonian negara. Mengurus dan mentadbir negara bukan satu uji kaji,” katanya.