“PARTI UMNO bukan milik individu, bukan milik abah saya atau abah sesiapapun,” tegas Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Beliau dalam ucapannya turut menegaskan bahawa UMNO adalah milik para perwakilan dan semua orang Melayu di negara ini.
“Siapa pun pemimpin tertinggi kita yang akan datang, saya yakin dengan semangat dan rasa kecintaan yang kita ada terutama kekuatan daripada Wanita UMNO sendiri, UMNO pasti dipertahankan kerana UMNO bukan bahan dagangan sesiapa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, NurulHidayah berkata, keberadaannya dalam UMNO bukan di atas faktor Ahmad Zahid semata-mata.
Katanya, ia adalah kerana restu seorang ibu yang melihat minat anaknya beraksi di pentas politik.
Dalam pada itu, NurulHidayah berkata, Wanita UMNO mampu menjadi tulang belakang yang boleh memberi kekuatan kepada perjuangan parti.