UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kluang sudah bersedia untuk bekerja kuat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan hadapan dan menerima siapa sahaja calon yang dinamakan pucuk pimpinan parti.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Mohd Jais Sardi, berkata jentera di peringkat cawangan dan pusat daerah mengundi (PDM) juga sudah ditubuhkan.
“Di peringkat bahagian Kluang semua jentera di peringkat cawangan UMNO dan juga peringkat PDM sudah sedia, malah sudah ada program di peringkat PDM pada masa ini.
“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan kawan-kawan kita di peringkat Pakatan Harapan (PH). Walaupun peringkat awal Parti Amanah Negara (Amanah) macam keras sikit, tapi Alhamdulillah telah diselesaikan dan mereka juga akan bersama-sama membantu kita sebagaimana kita bantu mereka (Amanah) di PRK Parlimen Pulai dan juga (PRK DUN) Sungai Jeram,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Johor berkata pimpinan UMNO Bahagian Kluang bersedia untuk memenangkan sesiapa sahaja yang diputuskan pimpinan tertinggi untuk menjadi calon pada PRK tersebut.
“Kita tiada masalah dari segi calon. Yang penting calon ini mesti dalam kalangan pimpinan UMNO bahagian sama ada peringkat tertinggi ataupun sayap,” katanya.
Mengulas mengenai tuntutan sayap Pemuda dan Wanita untuk calon dipilih dalam kalangan mereka, beliau berkata setiap sayap dalam parti berhak untuk mengemukakan calon, namun pada akhirnya terserah kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
“Bagi saya PRK ini kemenangan itu penting sebab itu kubu kuat kita. Tapi yang lebih penting ialah saya harap PRK ini juga, calon itu setelah menang dapat membantu untuk memperkukuh parti,” katanya.
Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, pada 2 Ogos lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September. – BERNAMA