JEMAAH Menteri memutuskan supaya Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dibentangkan di Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Jemaah Menteri mahu supaya laporan serta syor dikemukan, dibahaskan di Parlimen.
“Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sudah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam oleh Pengerusi Suruhanjaya, Tun Md Raus Sharif.
“Jemaah Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan membuat keputusan supaya Laporan Suruhanjaya ini dibentangkan di Parlimen dan syor-syor yang dikemukakan dibahaskan di Parlimen,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 2 Februari 2017, Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ (23 Mei 2008), namun pada Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu, dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.