DUA pemimpin UMNO menegaskan parti itu tidak akan menerima kembali Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir yang dipecat pada 2016 kerana tidak memberi nilai tambah, malah memberi imej buruk.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi berkata alasan Mukhriz enggan kembali ke pangkuan UMNO kerana wujud perbincangan untuk membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada penjara, sebagai hujah dangkal.
“Sebenarnya Mukhriz malu balik kepada UMNO bukan kerana perjuangan tetapi Pejuang sendiri sudah hampir pupus, malah ayahnya (Dr Mahathir Mohamad) sendiri tidak percaya dan meninggalkan parti ditubuhkan.
Pejuang berusaha untuk menempek dengan Perikatan Nasional (PN) tetapi saya yakin PN akan tolak…terima mereka bermakna PN memikul biawak hidup,” katanya k
epada FMT.
Sabtu lalu, Mukhriz menegaskan beliau tidak akan kembali ke pangkuan UMNO walaupun Zahid Hamidi tidak lagi mengetuai parti terbabit.
Pada 24 Jun 2016, Mukhriz bersama Muhyiddin Yassin dipecat daripada UMNO atas kesalahan disiplin dengan berkempen di pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti.
Razlan Rafii yang juga ahli MKT berkata UMNO tidak memerlukan individu yang berjuang semata-mata untuk kepentingan peribadi, dan pada masa sama menikam parti dari dalam.
Mukhriz boleh saja duduk di luar, dan kita tak perlu ada individu seperti dia yang duduk dalam parti ini dan lebih parah lagi bila menikam dari dalam.
Menyifatkan Mukhriz mewarisi legasi Mahathir yang berpolitik atas kepentingan diri dan keluarga, Razlan berkata Umno bergerak secara organisasi dan tidak akan terkesan dengan ‘dalil’ mana-mana pemimpin yang ingin mengharamkan parti itu.