UMNO Sabah tampil memperbetulkan kenyataan yang mendakwa hanya Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menarik diri bagi menyokong Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini sebaliknya ia dibuat secara konsensus.
Menurut Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, kenyataan ini mengelirukan dan boleh memberikan persepsi negatif terutamanya di kalangan ahli-ahli UMNO di negeri ini berikutan tindakan menarik sokongan tersebut tidak diputuskan secara individu.
Sambil merujuk keputusan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri pada Januari 2023 dan yang dipengerusikan oleh Bung serta sidang media selepas mesyuarat tersebut yang turut dihadiri oleh beberapa orang wakil rakyat UMNO malah ada yang bertaraf menteri dan pembantu menteri termasuk ketua-ketua UMNO bahagian, katanya keputusan tersebut adalah dibuat secara konsesus dan bukannya secara individu.
“Hari ini UMNO Sabah tampil memperbetulkan kenyataan yang menyatakan hanya Bung yang menarik sokongan kepada kerajaan GRS, tapi fakta sebenarnya keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh kepimpinan UMNO Sabah,” jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkaitan hal terbabit.
Terdahulu pada Ahad, dakwaan menyatakan bahawa hanya segelintir pemimpin dalam UMNO Sabah yang menarik diri menyokong kerajaan GRS.
Menurut Suhaimi yang juga Ketua UMNO bahagian Libaran, kenyataan ini bukanlah berdasarkan fakta tapi merupakan auta yang boleh menimbulkan prasangka negatif di kalangan ahli-ahli UMNO Sabah.
Mengakui memang masih ada pemimpin UMNO yang menganggotai kabinet Kerajaan GRS, bagaimanapun ia hanya bertaraf sebagai pembantu menteri dan diletakkan di kementerian yang tidak begitu penting dengan kuasa yang terhad, dijanjikan peruntukan tapi hanya janji palsu.
Suhaimi berkata, bagi jawatan menteri sebagaimana yang didakwa bukanlah mewakili UMNO kerana keahlian menteri berkenaan telah digantung dan ia bukanlah mewakili UMNO Sabah.
Menurut Suhaimi, selepas Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal membentuk kerajaan, GRS membuat pusingan 360 darjah menyokong Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Inilah sebenarnya gambaran sebuah parti yang tidak memiliki prinsip dan pendirian malah lebih mencerminkan kecelaruan ekoran ada pemimpin kanannya menjawat jawatan penting bersama PN termasuk mengekalkan wakil Pas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, tapi dalam masa yang sama mendabik dada menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Tambah Suhaimi permainan wayang tersebut dilakukan hanya untuk mengaburi mata semua pihak termasuk Perdana Menteri sebagai simbol menyokong PH.
“Namun dalam masa yang sama mereka mengeluarkan beberapa sentimen antaranya ‘ini rumah kita, kita jaga’ dan ‘tolak Parti Malaya’ yang tentu saja bukannya dikhususkan kepada UMNO kerana dalam gabungan PH turut dianggotai PKR dan Dap yang juga berpengkalan di Semenanjung Malaysia.
“Hakikatnya pemimpin-pemimpin mereka lebih suka bermain politik demi menjaga kedudukan dan kepentingan peribadi dan bukannya menjaga kepentingan rakyat Sabah sebab itu mereka gagal mengotakan gagasan ‘Sabah Maju Jaya’,” katanya lagi. – UMNO Online