1MDB: Najib diarah bela diri 25 tuduhan

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi, di sini, Jumaat lalu atas 25 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Najib kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara pilihan ketiga, bekas Presiden Umno itu memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, anak guamnya ‘tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan’ dan beliau akan memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Najib, 71, yang juga bekas menteri kewangan didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi 21 pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, bekas Presiden Umno itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Seminggu sebelum keputusan hari ini, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, menerusi kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berhubung salah laku dalam 1MDB.

Pada 30 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 50 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun, bermula 28 Ogos 2019.

Antara saksi itu ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Saksi pendakwaan ke-50, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan yang sebelum ini melarikan diri ke luar negara dan kemudian menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 7 Julai 2023 lalu adalah saksi terakhir dipanggil.

Prosiding di peringkat pendakwaan terbabit bermula pada 28 Ogos 2019 dan ia berlangsung selama 235 hari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Sementara pembelaan bagi pihak bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibarisi peguam-peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Alaistair Brandah Norman dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.

Pada 29 Januari lalu, Najib mendapat pengampunan daripada Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya apabila bekas pemimpin itu dijangka dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.

Tarikh itu adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) berumur 71 tahun itu menjadi bekas Perdana Menteri pertama dipenjarakan selama 12 tahun selepas gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan.