Dr M: Saya bukan penjual kacang putih

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, kenyataan oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Julai 2017 yang menuduhnya ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ mungkin tiada kesan jika beliau penjual kacang putih.

“Jika saya penjual kacang putih di tepi jalan, tak siapa peduli, tetapi sebaliknya kenyataan Ahmad Zahid itu telah mencalarkan reputasi dan nama saya sebagai bekas Perdana Menteri dan pemimpin politik.

“Dia tidak sepatutnya menipu, kata-katanya diambil serius oleh orang awam. Saya di sini untuk membuktikan dia menipu, sebagai ketua parti politik dia (Ahmad Zahid) tidak sepatutnya menipu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sebagai ketua sebuah parti politik, apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid diambil secara serius oleh orang awam.

“Orang awam tidak ada tempat untuk merujuk kenyataan Ahmad Zahid itu sama ada betul atau palsu, mereka mempercayainya kerana kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin parti politik,” katanya.

Ketika menjawab soal balas daripada peguam, Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid, Dr Mahathir berkata, pada peringkat awal selepas video kenyataan Ahmad Zahid tular, beliau menganggapnya sebagai kenyataan politik dan tidak diambil serius oleh orang ramai.

“Tetapi selepas itu saya dapati semakin ramai orang yang bertindak dan memberi komen mengenai kenyataannya. Kenyataan itu juga antara faktor kekalahan parti Bersatu dalam pilihan raya pada 2018.

“Ketika menonton video itu, dia (Ahmad Zahid) menunjukkan satu imej yang didakwa kad pengenalan asal milik saya,

“Dia tidak pernah menunjukkan gambar itu secara telus. Setakat sebuah imej, sesiapa sahaja boleh mengubahnya,” katanya.

Dr Mahathir yang memberi keterangan sebagai plaintif dalam kes saman terbabit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jumaat lalu, berkata, kenyataan Presiden Umno itu menggambarkan seolah-olah beliau bukan Mahathir Mohamad.