‘Kenyataan mengenai Amanah adalah peribadi’

PRESIDEN parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meredakan keadaan dengan berkata kenyataan seorang pemimpin UMNO Johor mengenai parti Amanah adalah pandangan peribadi dan bukannya pendirian parti.

Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata sebarang keputusan UMNO Johor untuk bertanding melawan Amanah atau tidak pada pilihanraya negeri nanti akan diputuskan oleh pucuk kepimpinan parti.

“Selagi kenyataan seperti itu bukannya dibuat oleh pengerusi atau presiden atau setiausaha agung parti, ia patut dianggap sebagai pendirian peribadi dan bukannya parti,” katanya di bangunan Parlimen, hari ini.

Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan setiausaha UMNO Johor, Abdul Halim Sulaiman bahawa partinya sedia menentang Amanah pada PRN akan datang selepas komponen Pakatan Harapan itu mengumumkan hasratnya untuk bertanding di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Halim berkata Amanah perlu sedar ia bernasib baik memenangi dua kerusi Parlimen pada pilihanraya umum 2022 dan satu kerusi DUN pada PRN Mac 2022.