BuNG Moktar Radin menegaskan beliau akan terus mengetuai Umno Sabah dan enggan melayan desakan ‘NGO tidak berwibawa’ memintanya mengundur diri susulan keputusan Mahkamah Rayuan, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad diarahkan membela diri terhadap tuduhan rasuah dan bersubahat membabitkan pelaburan RM150 juta Felcra.
Bercakap kepada FMT, Bung Moktar berkata kes membabitkan dirinya itu telah berjalan dari 2019, namun tidak mengganggu tugasnya sebagai ketua Umno Sabah selain wakil rakyat Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
“Saya turun selalu…macam minggu ini pun bertemu masyarakat di Sabah seperti biasa.
“Soal dalaman biar Umno tentukan, saya tidak mahu layan kenyataan NGO yang langsung tidak berwibawa dan berat sebelah,” katanya yang kini giat membuat persiapan mengetuai Umno dan Barisan Nasional (BN) berdepan PRN Sabah dijadualkan tahun depan.
Beliau mengulas desakan beberapa pihak dari luar Umno antaranya Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) yang meminta berundur sebagai ketua Umno Sabah untuk memfokuskan kepada kes mahkamahnya.
Semalam, Hakim Zaini Mazlan ketika membaca keputusan mengarahkan Bung Moktar dan Zizie membela diri, berkata permohonan semakan yang difailkan pasangan itu di Mahkamah Tinggi adalah sama dengan memfailkan rayuan.
Bung Moktar, pengerusi bukan eksekutif Felcra didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan agensi itu supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Norhaili Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung Moktar dalam melakukan kesalahan yang didakwa.
Pada 2 Sept 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan itu membela diri kerana pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima terhadap mereka.
Bagaimanapun, pada 7 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi membebaskan mereka susulan permohonan semakan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).